Semalam, sewaktu mengemas buku-buku yang berselerak, terjumpa sekeping gambar. Aku ni tak la berapa tau sangat perihal surau ni coz aku bukannya anak jati Kg Temelong. Aku mula menetap di sini dalam tahun 2001. Tapi masih sempat melihat bangunan ini. Tingkat bawahnya cuma dijadikan stor menyimpan pinggan mangkuk, kawah, keranda dan berbagai alatan khenduri. Itu je la yang aku ingat. Tapi hari ni aku rasa teringin sangat nak tau serba sikit tentangnya. Terus aku gi jumpa orang lama yang rapat ngan aku. Yang aku tak rasa segan. Jadi aku coretkan kisahnya. Kalau ada yang tak betul, jangan ler marah yer...peyelidikan aku cuma sehari je. Kalau ada info lagi meh ler kita kongsi. Aku sekarang ni tengah cari bahan tentang rumah-rumah lama kat Kg temelong ni..
Ini ler cerita menesah tu:
Terkenang Semasa Dulu: MENESAH KG TEMELONG.
Bagi penduduk atau orang-orang yang pernah mengunjungi Kg Temelong, pasti masih mengingati bangunan ini. Inilah satu-satunya surau yang ada di kampung Temelong. Surau yang menjadi tempat pelbagai guna kepada masyarakat kampungku suatu ketika dulu. Apa juga majlis umum, disinilah tempatnya. Maklumlah pada masa itu belum ada lagi dewan orang ramai seperti sekarang.
Didirikan berhampiran Masjid Al- Hidayah (Masjid lama) pada tahun 1946. Jaraknya hanyalah kira-kira 6 Meter atau 3 Depa sahaja dengan masjid. Didirikan semasa Allahyarham Hj Awang Teh Bin Sabidin (Tok Wa Teh) menjadi Ketua Kampung. Pembinaan surau ini diputuskan dalam perbincangan Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan Jawatankuasa Masjid pada ketika itu. Hasil kutipan sumbangan penduduk kampung dan pembinaannya secara gotong royong, maka terbinalah surau ini. Penduduk kampung mengenalinya sebagai
Menesah (loghat kampung - asal perkataan Madrasah).
Pada ketika itu Masjid Al-Hidayah hanya mampu menampung 100 jemaah lebih sahaja pada satu-satu masa. Maka untuk masa-masa tertentu, seperti Sembahyang Sunat Hari Raya, surau ini digunakan untuk menampung jemaah wanita.
Surau ini juga digunakan sebagai “tempat mengaji” (belajar Agama) bagi kaum wanita pada masa itu. Antara tok guru-tok guru yang pernah mengajar disini termasuklah AllahyarhamTn Hj Abdul Rahman (Tok Ayah), Allahyarham Tn Hj Mahmud dan Allahyarham Ustaz Tajol Ariffin.
Pak Sa Rajak-tenaga pengajar pertama Sek.Agama Rakyat secara ikhlas. |
Pada tahun 1967, Atas inisiatif penduduk kampung, surau ini digunakan sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR). Disinilah kanak-kanak sekolah rendah belajar agama pada sebelah petang .Pada masa itu, tenaga pengajarnya ialah Tn Hj Abdul Razak Bin Awang Nik (Pak Sa Rajak – lahir pada tahun 1930) dan Pn Hjh Halimah (Mak Cu Limah). Pn Hjh Halimah mengajar di tingkat atas manakala Pak Sa Rajak di tingkat bawah. Hanya dua kelas pada waktu itu. Mengajar secara ikhlas tanpa sebarang gaji atau elaun. Hanya pada ketika tertentu, JKK kampung dan JK Masjid mengumpul derma dari penduduk kampung sebagai saguhati kepada dua guru tersebut.
Mak Sa @ Hafsah, isteri kepada Pak Sa Rajak yang juga anak kepada Tok Wa Teh (Allahyarham Hj Awang Teh). Berkahwin pada tahun 1948 sewaktu usianya 13 tahun.
Pada pertengahan tahun 1968, pentadbiran sekolag agama rakyat ini diambil alih oleh kerajaan negeri. Ustaz Hj Bahari Bin Ahmad, Ainon Bt Othman (Anak Pak Uda), Habsah Bt Yassin (Cu Sepiah), Aisyah Bt Ibrahim (Kak Esah) adalah antara guru-guru di sekolah tersebut. Pada tahun 1980, Sebuah bangunan SAR telah dibina berhampiran surau tersebut.
Namun kini surau ini hanya tinggal kenangan. Ianya dirobohkan pada tahun 2006. Tapak surau ini telah didirikan bangunan Medan Infodesa.. Perkakasan bangunan Surau ini telah dijual kepada Mohd Amin Bin Hashim oleh Jawatankuasa Masjid.
Tinggal kenangan – Gambar ini dirakamkan pada tahun 2006 sebelum surau ini dijual dan dirobohkan. Bangunan di belakangnya ialah Sekolah Agama Rakyat yang baru dibina.