Tuesday, February 9, 2010

Petkan Dari Malaysiakini.com

Pemimpin BN sambut baik keputusan Zambry kekal MB
Feb 9, 10 3:17pm

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak dan berharap semua pihak menerima keputusan berkenaan.

Mereka berkata adalah penting bagi semua pihak membenarkan Zambry menumpukan perhatian untuk membangunkan dan melaksanakan program dirancang bagi memajukan Perak.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata semua pihak mestilah menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Keluhuran undang-undang mestilah ditegakkan. Dalam tempoh setahun lepas, kita telah melihat bagaimana perkara ini dimainkan. Apabila keputusan memihak kepada mereka, tiada bantahan satu perkataan pun, tetapi bila ia tidak memihak mereka, ketika itu mereka cuba mencetuskan kacau bilau," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ong, yang sedang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan minggu lepas, berharap dengan keputusan hari ini, kerajaan Perak pimpinan BN akan terus gigih berkhidmat untuk rakyat.
Presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau gembira dengan keputusan itu kerana ia membawa perkembangan positif untuk Perak.

Samy Vellu, bekas anggota parlimen Sungai Siput di Perak, berkata Zambry telah menunjukkan kualiti kepimpinan yang kuat sejak menjadi Menteri Besar.

"Saya yakin beliau (Zambry) akan dapat memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau berlaku adil kepada semua kaum dan membawa pembangunan," katanya.

Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha berkata MCA negeri berharap semua pihak menerima keputusan mahkamah dan tidak cuba menimbulkan kekacauan di negeri itu.

"Saya memohon setiap orang menghormati keputusan mahkamah dan bertenang. Sudah tiba masanya rakyat Perak melangkah ke hadapan," katanya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam dewan undangan negeri.

4 comments:

Anonymous said...

memang selayaknya dia jadi pemimpin....

Anonymous said...

best....aku sokong dia

Anonymous said...

best....aku sokong dia

Norgadis said...

Salam, Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya yang tak seberapa. Saya sebenarnya ingin memberi cadangan, alangkah moleknya andainya di blog saudara ini di tambah dengan shoutmix Chat untuk memudahkan para pengunjung meninggalkan jejaknya. Shoutmix di blog saya berada ditepi sebelah kanan berwarna hijau (kecil sja) dan bertulis BUKU TAMU.

yang benar,